Tugasan Blog SIW 505
"Hallyu" Demam K-POP
Normaisarah Binti Mohammad Zahari
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM 0129/12
Korea adalah
sebuah negara yang homogeneous sifatnya. Pembentukan jati diri, pengukuhan bahasa serta budaya
kebangsaan bukanlah merupakan
satu cabaran yang besar. Jadi, lebih banyak masa boleh
ditumpukan pada merancang hala tuju pemerkasaan bahasa dan budaya mereka. Maka
dengan perancangan teliti lahirlah Hallyu. Hallyu atau Korean Wave
(Gelombang Korea) adalah istilah yang diberikan untuk menyebarkan budaya pop Korea (K-Pop dan drama)
secara global di peringkat antarabangsa. Kesannya, Hallyu telah memicu
banyak orang di negara yang terlanda dengan demam ini untuk mempelajari bahasa dan kebudayaan Korea. Kejayaan utama
Hallyu adalah apabila drama bersiri Winter Sonata (2002) diterima dengan baik di Jepun, Cina,
Taiwan dan negara ASEAN. Sejak itu istilah Hallyu atau demam Korea muncul.
Banyak
faktor yang menyumbang pada kejayaan Hallyu. Budaya popular Korea menggabungkan secara kreatif nilai barat dan Asia
demi menghasilkan satu corak
budaya Korea yang menjadi model budaya dan ekonomi terkemuka untuk diikuti
dan diminati. Jika diperhatikan dramatis-dramatis Korea, mereka mempunyai
tubuh badan langsing dan wajah tampan dan jelita. Ekspresi muka yang hebat semasa melakonkan
watak memberikan kesan mendalam pada penonton. Cara berpakaian yang sesuai
dengan budaya dan suasana empat musim di Korea sering menjadi
ikutan remaja Asia. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan fesyen Korea terutama dari segi pakaian,
kasut malah penjagaan kulit muka menjadi ikutan ramai merentas Asia. Fenomena ini dapat dilihat
sendiri di bandar Seoul yang sangat banyak gedung fesyen, kedai penjagaan kulit
malah khidmat pembedahan plastik yang tumbuh bak cendawan.
Salah
satu faktornya merupakan faktor muzik yang
mudah mendapat tempat di hati peminat
Asia. Muzik Korea jelas menggambarkan keyakinan diri rakyat Korea.
Senimannya dapat memprojeksikan imej maskulin atau seksi dengan jayanya. Artis seperti Rain, Se7en, Wonder Girls, Girls Generation, Super Junior, Beast dan ramai lagi telah berjaya
menempa nama di peringkat antarabangsa. Dan yang terbaru merupakan pengaruh Oppa Gangnam Style yang menjadi ikutan
dan trend masyarakat sekarang khususnya golongan muda. Kejayaan muzik pop Korea (K-Pop) menduduki
tangga di bawah 100 di Amerika Syarikat membuktikan muzik
mereka diterima oleh masyarakat antarabangsa. Malah, muzik pop mereka menular ke negara Eropah seperti Perancis pada
tahun ini
(2011) apabila kumpulan pop muzik
mereka seperti Super Junior dan Girls Generation mula mendapat
tempat di hati penonton di Eropah. Persembahan mereka mendapat sambutan yang
menggalakkan dari peminat di Perancis (Nor Hashimah Jalaluddin, dan Zaharani Ahmad, 2011).
Di Malaysia, gelombang kegilaan
remaja Malaysia terhadap pelakon dan penyanyi Korea semakin memuncak sehingga mencetuskan
fenomena khususnya dalam kalangan remaja perempuan. Fenomena Korea bermula
beberapa tahun lalu dengan pengaruh besar drama Korea, Winter Sonata yang
mengisahkan pengorbanan dan cinta sejati lakonan hebat Kang Joon-sang (Bae Yong
Joon) dan Jung Yu-jin (Choi Ji Woo). Drama itu membuatkan ramai suri rumah dan
wanita khususnya, sanggup meninggalkan tugas lain semata-mata untuk duduk di
depan televisyen untuk menontonnya. Bukan setakat menonton, malah menjiwai dan
menangis meratapi nasib watak dalam drama tersebut.
Selepas itu pula, tercetus
kegilaan anak-anak muda kepada lagu-lagu pop Korea atau disebut K-Pop. Daripada
'kewajipan' menyaksikan konsert dan membeli cakera padat (CD), cakera video
digital (DVD), baju atau cendera mata sehinggalah menghafal lirik lagu-lagu
popular mereka. Tidak cukup dengan itu, bagi yang memiliki telefon bimbit, wang
belanja sekolah habis atau sebahagian gaji bulanan digunakan untuk menambah
nilai kad prabayar. Ia semata-mata bagi membolehkan mereka memuat turun nada
dering atau wallpaper dan gambar-gambar artis Korea. Menerusi laman web sosial
seperti Facebook dan Twitter, mereka mewujudkan kumpulan atau rangkaian peminat
artis Korea dan K-Pop. Ruang status mereka dalam Facebook misalnya, dipenuhi
gambar-gambar artis Korea selain lagu-lagu popular K-Pop yang dikongsikan
daripada web Youtube.
Selain itu, komuniti K-Pop di Malaysia sebenarnya mengumpulkan
puluhan ribu peminat yang digerakkan terutamanya menerusi medium jaringan
sosial seperti blog, Facebook dan Twitter. Peminat fanatik itu biasanya
dipecahkan mengikut kumpulan yang digemari. Bagaimanapun, kebiasaannya peminat
K-Pop di Malaysia tetap saling mengenali kerana saling berhubungan di internet
atau menghadiri aktiviti yang dianjurkan seperti tayangan konsert atau jualan (Utusan, 2011).
Menurut
perspektif islam, pengaruh hallyu k-pop sudah tentu menyempang dari aspek
tasawur islam kerana hiburan yang dihidangkan kepada para remaja khususnya
remaja islam melampaui batas hiburan berlandaskan islam. Remaja muslim ini terlampau
taksub untuk mengikuti setiap perkembangan artis-artis korea yang di minati
justeru akan menjadikan mereka lalai dalam gelombang hallyu masa kini. Dunia
hiburan di Malaysia sesak dengan hiburan yang melalaikan kerana lambakan
artis-artis daripada luar yang masuk membuat konsert khususnya artis-artis
korea yang sedang giat menjalankan promosi album mereka di samping membawa
budaya mereka terus masuk ke dalam jiwa anak muda pewaris masa depan Negara.
Bila berhujah berkenaan artis-artis korea, mereka sangat popular dengan fesyen
dan lenggokan tarian ketika membuat persembahan. Cara pemakaian yang sudah
melanggar etika dengan tarian-tarian yang menggoda boleh membuatkan para remaja
islam mudah hanyut dan lalai dengan alunan lagu-lagu korea di samping artisnya
yang memiliki rupa paras yang cantik dan bergaya. Semua pengaruh yang di bawa
oleh artis-artis korea telah menjadi ikutan para remaja islam khususnya bukan
sahaja dari segi fesyen berpakaian, malah gaya hidup dan pembawakan diri mereka
telah menyerupai masyarakat korea sehinggakan sudah lupa tentang ajaran islam
sebenar. Disebabkan masyarakat sekarang dihidang dan dilambakkan dengan hiburan
di sana sini, siang dan malam bukan sahaja konsert secara langsung malah di
kaca telivisyen, di radio, di dada-dada akhbar, buku serta majalah, tidak
kurang juga kemudahan akses internet yang memudahkan remaja mendapat hiburan
dari alam maya internet. Begitu hebat impak
dan akibatnya terdapat kalangan umat
Muslim yang menjadi lalai terhadap kewajipan dan tanggungjawab terhadap Allah
swt. Lambakan hidangan hiburan ini telah menggalakkan budaya
berseronok-seronok wujud dalam kalangan umat islam yang mana mereka berhibur
dan berseronok-seronok tanpa mengira waktu dan taraf hubungan. Lelaki wanita
bukan muhrim bergaul bebas. Kesudahannya, berlaku keterlanjuran dan zina akibat
daripada keseronokan dunia dan kurang pegangan agama. Tidak hairanlah kalau
kita sering disajikan dengan berita-berita anak luar nikah, buang bayi dan
bunuh bayi yang tidak berdosa ( Dla Amaya,2012 ).
Seperti firman Allah yang
bermaksud :
“Dan
tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan
yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang
yang bertakwa. Oleh itu, tidakah kamu mahu berfikir?” (Al-An’am, 6:32).
Al-Qur‘an
juga ada mengingatkan manusia bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara
yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan
menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman
Allah SWT dalam surah Luqman yang bermaksud:
“Dan ada antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya
kepada cerita dan perkara hiburan yang melalaikan; yang mengakibatkan boleh
menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah SWT dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama
Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang yang akan beroleh azab yang
menghinakan.” (Luqman, 31:4)
Yang dikatakan “lalai” itu telah diperjelaskan oleh Allah swt yang maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami dan mereka mempunyai mata tidak dipergunakannya untuk melihat , dan mereka mempunyai telinga tidak dipergunakannya untuk mendengar. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-‘Araaf, 7:179)
Dalam
Hallyu, drama Korea dan lagu-lagu Korea yang menggunakan bahasa Korea
sepenuhnya tidak menjadi penghalang untuk menembusi pasaran antarabangsa. Apa yang penting
jalan cerita, tema, rentak muzik dan nilai positif
yang ditonjolkan adalah jauh lebih penting. Islam adalah agama yang
realistik, menyeluruh dari segi duniawi dan ukhrawinya dan berjalan di atas
dunia realiti dan alam kenyataan. Syariat Islam memenuhi fitrah manusia yang
melibatkan segala keperluan rohani dan fizikal manusia dapat dipenuhi
berdasarkan konsep mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan. Apa yang
baik itu adalah Islam dan yang buruk bukan daripada ajaran Islam. Termasuk
perkara yang dibenarkan dalam Islam ialah berhibur. Syariat Islam memenuhi
keperluan fitrah manusia yang ingin dan suka berada dalam keadaan gembira. Antara
sumber bentuk hiburan ialah nyanyian, tarian dan lakonan. Imam al-Ghazali
berpendapat, dalam mendengar nyanyian, ada yang harus dan sunat. Selain itu ada
juga yang diharamkan. Mengikut riwayat, daripada Aisyah bahawa bapanya,
Abu Bakar pernah menemuinya dan ketika itu beliau bersama-sama dua hamba
perempuan pada hari Mina. Kedua-duanya menyanyi dan memukul gendang, sedangkan
Nabi Muhammad menutup wajahnya dengan pakaiannya. Perlu diambil ingatan
bahawa hukum harus itu boleh bertukar menjadi haram jika melibatkan perbuatan
yang ditegah agama. Hal inilah mengapa banyak pihak menolak segala bentuk
nyanyian yang dipersembahkan artis sekarang. Mereka bukan menolak hiburan,
tetapi kerana melihat corak hiburan sekarang banyak melibatkan unsur haram.
SENARAI RUJUKAN
Nor
Hashimah Jalaluddin, and Zaharani Ahmad, (2011) Hallyu di Malaysia: kajian sosiobudaya
: Jurnal Komunikasi. Accessed on 12 October 2012 from http://journalarticle.ukm.my/3258/
Dla
amaya, (27 April 2012) Mari kita tolak
hiburan yang melalaikan. Accessed on 17 October 2012 from http://dlasweet89.blogspot.com
Rosalinda
Md Saad, (19 Mac 2011) Demam K-POP. Accessed on 23 October 2012 from http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2011&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2B2AYFAI4