Thursday 22 November 2012

"HALLYU" Demam K-POP

Tugasan Blog SIW 505
"Hallyu" Demam K-POP
Normaisarah Binti Mohammad Zahari
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan 
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM 0129/12

Korea adalah sebuah negara yang homogeneous sifatnya. Pembentukan jati diri, pengukuhan bahasa serta budaya kebangsaan bukanlah merupakan satu cabaran yang besar. Jadi, lebih banyak masa boleh ditumpukan pada merancang hala tuju pemerkasaan bahasa dan budaya mereka. Maka dengan perancangan teliti lahirlah Hallyu. Hallyu atau Korean Wave (Gelombang Korea) adalah istilah yang diberikan untuk menyebarkan budaya pop Korea (K-Pop dan drama) secara global di peringkat antarabangsa. Kesannya,   Hallyu telah memicu banyak orang di negara yang terlanda dengan demam   ini  untuk mempelajari bahasa   dan kebudayaan Korea. Kejayaan utama Hallyu adalah apabila drama bersiri Winter Sonata (2002) diterima dengan baik di Jepun, Cina, Taiwan dan negara ASEAN. Sejak itu istilah Hallyu atau demam Korea muncul.

Banyak faktor yang menyumbang pada kejayaan Hallyu. Budaya popular Korea menggabungkan secara kreatif nilai barat dan Asia demi menghasilkan satu corak budaya Korea yang menjadi model budaya dan ekonomi terkemuka untuk diikuti dan diminati. Jika diperhatikan dramatis-dramatis Korea, mereka mempunyai tubuh badan langsing dan wajah tampan dan jelita. Ekspresi muka yang hebat semasa melakonkan watak   memberikan kesan mendalam pada penonton. Cara berpakaian yang sesuai dengan budaya dan suasana empat musim di Korea sering menjadi ikutan remaja Asia. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan fesyen Korea terutama dari segi pakaian, kasut malah penjagaan kulit muka menjadi ikutan ramai merentas Asia. Fenomena ini dapat dilihat sendiri di bandar Seoul yang sangat banyak gedung fesyen, kedai penjagaan kulit malah khidmat pembedahan plastik yang tumbuh bak cendawan.

Salah satu faktornya merupakan faktor muzik yang mudah mendapat tempat di hati peminat Asia. Muzik Korea jelas menggambarkan keyakinan diri rakyat Korea. Senimannya dapat memprojeksikan imej  maskulin  atau seksi dengan  jayanya. Artis  seperti Rain, Se7en, Wonder Girls, Girls Generation, Super Junior, Beast dan ramai lagi telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa. Dan yang terbaru merupakan pengaruh Oppa Gangnam Style yang menjadi ikutan dan trend masyarakat sekarang khususnya golongan muda. Kejayaan muzik pop Korea (K-Pop) menduduki tangga di bawah 100 di Amerika Syarikat membuktikan muzik mereka diterima oleh masyarakat antarabangsa. Malah, muzik pop mereka menular ke negara Eropah seperti Perancis pada tahun  ini (2011) apabila kumpulan pop muzik mereka seperti Super Junior dan Girls Generation mula mendapat tempat di hati penonton di Eropah. Persembahan mereka mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat di Perancis (Nor Hashimah Jalaluddin, dan Zaharani Ahmad, 2011).

Di Malaysia, gelombang kegilaan remaja Malaysia terhadap pelakon dan penyanyi Korea semakin memuncak sehingga mencetuskan fenomena khususnya dalam kalangan remaja perempuan. Fenomena Korea bermula beberapa tahun lalu dengan pengaruh besar drama Korea, Winter Sonata yang mengisahkan pengorbanan dan cinta sejati lakonan hebat Kang Joon-sang (Bae Yong Joon) dan Jung Yu-jin (Choi Ji Woo). Drama itu membuatkan ramai suri rumah dan wanita khususnya, sanggup meninggalkan tugas lain semata-mata untuk duduk di depan televisyen untuk menontonnya. Bukan setakat menonton, malah menjiwai dan menangis meratapi nasib watak dalam drama tersebut.
Selepas itu pula, tercetus kegilaan anak-anak muda kepada lagu-lagu pop Korea atau disebut K-Pop. Daripada 'kewajipan' menyaksikan konsert dan membeli cakera padat (CD), cakera video digital (DVD), baju atau cendera mata sehinggalah menghafal lirik lagu-lagu popular mereka. Tidak cukup dengan itu, bagi yang memiliki telefon bimbit, wang belanja sekolah habis atau sebahagian gaji bulanan digunakan untuk menambah nilai kad prabayar. Ia semata-mata bagi membolehkan mereka memuat turun nada dering atau wallpaper dan gambar-gambar artis Korea. Menerusi laman web sosial seperti Facebook dan Twitter, mereka mewujudkan kumpulan atau rangkaian peminat artis Korea dan K-Pop. Ruang status mereka dalam Facebook misalnya, dipenuhi gambar-gambar artis Korea selain lagu-lagu popular K-Pop yang dikongsikan daripada web Youtube.

Selain itu, komuniti K-Pop di Malaysia sebenarnya mengumpulkan puluhan ribu peminat yang digerakkan terutamanya menerusi medium jaringan sosial seperti blog, Facebook dan Twitter. Peminat fanatik itu biasanya dipecahkan mengikut kumpulan yang digemari. Bagaimanapun, kebiasaannya peminat K-Pop di Malaysia tetap saling mengenali kerana saling berhubungan di internet atau menghadiri aktiviti yang dianjurkan seperti tayangan konsert atau jualan (Utusan, 2011).

Menurut perspektif islam, pengaruh hallyu k-pop sudah tentu menyempang dari aspek tasawur islam kerana hiburan yang dihidangkan kepada para remaja khususnya remaja islam melampaui batas hiburan berlandaskan islam. Remaja muslim ini terlampau taksub untuk mengikuti setiap perkembangan artis-artis korea yang di minati justeru akan menjadikan mereka lalai dalam gelombang hallyu masa kini. Dunia hiburan di Malaysia sesak dengan hiburan yang melalaikan kerana lambakan artis-artis daripada luar yang masuk membuat konsert khususnya artis-artis korea yang sedang giat menjalankan promosi album mereka di samping membawa budaya mereka terus masuk ke dalam jiwa anak muda pewaris masa depan Negara. Bila berhujah berkenaan artis-artis korea, mereka sangat popular dengan fesyen dan lenggokan tarian ketika membuat persembahan. Cara pemakaian yang sudah melanggar etika dengan tarian-tarian yang menggoda boleh membuatkan para remaja islam mudah hanyut dan lalai dengan alunan lagu-lagu korea di samping artisnya yang memiliki rupa paras yang cantik dan bergaya. Semua pengaruh yang di bawa oleh artis-artis korea telah menjadi ikutan para remaja islam khususnya bukan sahaja dari segi fesyen berpakaian, malah gaya hidup dan pembawakan diri mereka telah menyerupai masyarakat korea sehinggakan sudah lupa tentang ajaran islam sebenar. Disebabkan masyarakat sekarang dihidang dan dilambakkan dengan hiburan di sana sini, siang dan malam bukan sahaja konsert secara langsung malah di kaca telivisyen, di radio, di dada-dada akhbar, buku serta majalah, tidak kurang juga kemudahan akses internet yang memudahkan remaja mendapat hiburan dari  alam maya internet. Begitu hebat impak  dan akibatnya terdapat kalangan umat Muslim yang menjadi lalai terhadap kewajipan dan tanggungjawab terhadap Allah swt.  Lambakan hidangan hiburan ini telah menggalakkan budaya berseronok-seronok wujud dalam kalangan umat islam yang mana mereka berhibur dan berseronok-seronok tanpa mengira waktu dan taraf hubungan. Lelaki wanita bukan muhrim bergaul bebas. Kesudahannya, berlaku keterlanjuran dan zina akibat daripada keseronokan dunia dan kurang pegangan agama. Tidak hairanlah kalau kita sering disajikan dengan berita-berita anak luar nikah, buang bayi dan bunuh bayi yang tidak berdosa ( Dla Amaya,2012 ).

Seperti firman Allah yang bermaksud :
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakah kamu mahu berfikir?” (Al-An’am, 6:32).

Al-Qur‘an juga ada mengingatkan manusia bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Luqman yang bermaksud:


“Dan ada antara manusia: Orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita dan perkara hiburan yang melalaikan; yang mengakibatkan boleh menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Luqman, 31:4)

Yang dikatakan “lalai” itu telah diperjelaskan oleh Allah swt yang maksudnya:


“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami dan mereka mempunyai mata tidak dipergunakannya untuk melihat , dan mereka mempunyai telinga tidak dipergunakannya untuk mendengar. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-‘Araaf, 7:179)

Dalam Hallyu, drama Korea dan lagu-lagu Korea yang menggunakan bahasa Korea sepenuhnya tidak menjadi penghalang untuk menembusi pasaran antarabangsa. Apa yang penting jalan cerita, tema, rentak muzik dan nilai positif yang ditonjolkan adalah jauh  lebih penting. Islam adalah agama yang realistik, menyeluruh dari segi duniawi dan ukhrawinya dan berjalan di atas dunia realiti dan alam kenyataan. Syariat Islam memenuhi fitrah manusia yang melibatkan segala keperluan rohani dan fizikal manusia dapat dipenuhi berdasarkan konsep mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan. Apa yang baik itu adalah Islam dan yang buruk bukan daripada ajaran Islam.  Termasuk perkara yang dibenarkan dalam Islam ialah berhibur. Syariat Islam memenuhi keperluan fitrah manusia yang ingin dan suka berada dalam keadaan gembira. Antara sumber bentuk hiburan ialah nyanyian, tarian dan lakonan. Imam al-Ghazali berpendapat, dalam mendengar nyanyian, ada yang harus dan sunat. Selain itu ada juga yang diharamkan.  Mengikut riwayat, daripada Aisyah bahawa bapanya, Abu Bakar pernah menemuinya dan ketika itu beliau bersama-sama dua hamba perempuan pada hari Mina. Kedua-duanya menyanyi dan memukul gendang, sedangkan Nabi Muhammad menutup wajahnya dengan pakaiannya. Perlu diambil ingatan bahawa hukum harus itu boleh bertukar menjadi haram jika melibatkan perbuatan yang ditegah agama. Hal inilah mengapa banyak pihak menolak segala bentuk nyanyian yang dipersembahkan artis sekarang. Mereka bukan menolak hiburan, tetapi kerana melihat corak hiburan sekarang banyak melibatkan unsur haram.


SENARAI RUJUKAN

Nor Hashimah Jalaluddin, and Zaharani Ahmad, (2011) Hallyu di Malaysia: kajian sosiobudaya : Jurnal Komunikasi. Accessed on 12 October 2012 from http://journalarticle.ukm.my/3258/

Dla amaya, (27 April 2012) Mari kita tolak hiburan yang melalaikan. Accessed on 17 October 2012 from http://dlasweet89.blogspot.com

Rosalinda Md Saad, (19 Mac 2011) Demam K-POP. Accessed on 23 October 2012 from http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2011&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2B2AYFAI4