Tugasan
Blog (Rencana) SZW502
PERNIAGAAN
: KEBERKATAN ATAU KEUNTUNGAN
Normaisarah
Binti Mohammad Zahari
Calon
Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan
Pembangunan Islam
PSM
0129/12
Islam
menggalakkan umatnya menjalankan perniagaan bagi meningkatkan kehidupan sosial
dan ekonomi mereka kerana sembilan daripada sepuluh punca rezeki datangnya
daripada perniagaan dan keusahawanan. Perniagaan juga merupakan suatu ibadah iaitu memenuhi tuntutan fardu kifayah bagi umat Islam.
Perniagaan merupakan suatu ibadah yang mulia seperti mana yang ditegaskan oleh
Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan
(gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama
suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(
An-nisa, 4:29)
Al-Quran
juga menyentuh secara langsung tentang keusahawanan sebagai sumber pencarian
rezeki yang halal dan mulia yang bermaksud sekiranya umat Islam ingin mencari
kekayaan, maju serta menguasai bidang ekonomi, maka berniaga merupakan bidang
yang sewajarnya diceburi kerana perniagaan merupakan punca rezeki yang luas.
Manusia
dianugerahkan keinginan yang pelbagai namun kemampuan dari sudut tenaga dan
masa menjadi batasan terhadap perkara yang diingininya tidak dapat dipenuhi.
Menyedari keterbatasan ini maka perniagaan menjadi medan untuk menyempurnakan
keinginan tersebut. Sebagai seorang Muslim kita perlu melihat perniagaan itu
sebagai satu amanah bagi memuaskan hati kehendak pengguna. Jika di dalam hati
kita mempunyai sifat bertanggungjawab maka misi hidup kita menjadi amat jelas.
Kita boleh meletakkan usaha dalam bidang perniagaan sebagai ibadah untuk
kehidupan di dunia dan juga sebagai pelaburan untuk hari akhirat. Untuk
melibatkan diri dalam perniagaan, niat menjadi asas dalam melakukan sesuatu
pekerjaan di mana ianya mesti dimulakan dengan niat yang baik agar dapat
menghasilkan natijah yang baik di penghujungnya. Sesungguhnya Allah s.w.t. akan
meletakkan kedudukan yang tinggi serta kemuliaan kepada mereka yang melibatkan
diri dalam perniagaan sekiranya mereka bertakwa, jujur dan amanah dalam amalan
perniagaannya.
PERNIAGAAN
Pada kebiasaannya bidang perniagaan ini dikaitkan kemampuan untuk
menjadi kaya melalui tindakan berusaha sendiri tanpa bergantung pada orang lain
untuk mendapatkan gaji bulanan. Balasan daripada sikap berdikari ini dinamakan
sebagai keuntungan hasil daripada proses jual beli yang dilakukan dengan
pelanggan.
Melibatkan diri dalam bidang perniagaan juga memerlukan individu
berkenaan bersedia untuk berhadapan dengan cabarannya. Risiko daripada tindakan
melibatkan diri dalam bidang ini adalah sama ada berjaya ataupun gagal. Jika
berjaya ia akan memperoleh keuntungan sebaliknya jika gagal maka individu
berkenaan perlu menanggung kerugian.
Kejayaan usahawan yang melibatkan diri dalam perniagaan ini
bukanlah boleh diperoleh secara mudah dan tiba-tiba, sebaliknya ia memerlukan
kesungguhan berserta motivasi dan disiplin diri yang tinggi. Peniaga perlu
mencari sebanyak mungkin pengalaman di dalam bidang ini dan sentiasa berusaha
untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan perniagaan.
KEUNTUNGAN
Setiap pekerjaan yang baik mesti dimulakan dan dilaksanakan dengan
hal yang baik supaya menghasilkan natijah yang baik. Hakikat yang berlaku pada
hari ini kebanyakan umat Islam yang melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan
bukan di atas dorongan mencari keredhaan Allah SWT sebaliknya lebih kepada
mencari kekayaan dan keuntungan semata-mata. Apabila kekayaan diletakkan
sebagai matlamat utama dalam mengusahakan sesebuah perniagaan maka pelbagai
cara akan digunakan oleh individu berkenaan tanpa mengira hukum dan syariat
yang telah ditetapkan oleh Islam maka itu timbul isu-isu di bawah:
Melindung Kerosakan
Demi untuk mendapat keuntungan beberapa perkara yang sebenar
berkaitan dengan produk yang ditawarkan telah di selindung oleh para peniaga.
Tindakan ini menyebabkan para pelanggan merasa ditipu dengan apa yang
ditawarkan oleh peniaga kerana kerosakan tersebut sengaja di selindungkan dan
dikesan oleh pembeli kemudian hari. Keadaan ini akhirnya akan menimbulkan rasa
tidak redha dan tertipu di hati pelanggan di atas urus niaga yang telah
dilaksanakan.
Mengurangi Timbangan
Ada juga di kalangan peniaga yang secara sengaja mengambil
kesempatan dengan cara melakukan pengubahsuaian ke atas alat timbangan bagi
tujuan mengurangkan berat bahan jualannya. Kadar bayaran pula dikenakan pada
jumlah timbangan yang sebenar tetapi
kuantiti barangan telah dikurangkan tanpa pengetahuan pelanggan.
Apabila kuantiti yang telah dikurangkan itu di kumpul, maka peniaga berkenaan
boleh menjual bagi menggandakan keuntungan tanpa mengira hak para pelanggannya.
Menyorok Barangan
Bagi menaikkan harga sesuatu barangan, ada sesetengah peniaga yang
sanggup menyorokkan barangan jualan. Tindakan ini bertujuan untuk memberikan
gambaran bahawa barangan tersebut kurang di pasaran. Apabila para pelanggan
berasa sukar untuk mendapatkan barangan tersebut maka mereka akan sanggup untuk
membayar lebih. Bagi memberikan tekanan kepada para pelanggan maka barang yang
disorok biasanya melibatkan barangan keperluan utama dalam kehidupan masyarakat
berkenaan seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya.
Membeli Barangan Curi
Walaupun menyedari membeli barangan curi adalah suatu kesalahan
baik dari sudut agama mahupun undang-undang negara, namun ada peniaga yang sanggup
melakukan kesalahan dan dosa dengan membeli barangan tersebut. Tindakan ini
dilakukan semata-mata kerana peniaga ini tahu bahawa barangan curi boleh dibeli
dengan harga yang amat murah dan
kemudian boleh dijual pada harga pasaran semasa demi untuk mengaut
lebih banyak keuntungan.
Menghapuskan Pengeluaran yang Berlebihan
Ada juga pengusaha yang sanggup untuk mengekalkan harga bahan
keluaran syarikatnya dengan cara melupuskan bahan tersebut. Tanpa mengambil
kira sifat perikemanusiaan pada pengusaha yang sanggup membunuh haiwan ternakan
semata-mata tidak mahu menanggung kerugian kerana kejatuhan harga apabila
bilangan yang ditawarkan lebih banyak daripada permintaan yang ada di pasaran.
Memonopoli Perniagaan
Demi untuk mendapatkan keuntungan yang lebih, maka ada peniaga
yang mengambil jalan menguasai pasaran perniagaan yang diusahakan. Keadaan ini
boleh terjadi apabila peniaga berkenaan mempunyai modal yang besar maka dia
akan mengambil tindakan untuk menghalang peniaga lain dari membuka perniagaan di
kawasannya. Antara tindakan yang boleh dilakukannya adalah membeli kesemua
barangan dari peniaga tersebut atau menurunkan harga barangan supaya peniaga
yang baru ini tidak mampu untuk bersaing dengannya.
Mengamalkan Riba
Mengambil keuntungan yang berterusan ke atas sesuatu urusan jual
beli di mana jumlah yang sepatutnya dibayar lebih dari yang sepatutnya, inilah
yang dinamakan sebagai riba. Untuk menjadikan keuntungan ini berterusan maka peniaga
mengenakan kadar faedah tertentu dalam urus niaganya. Apabila pelanggan gagal
membayar maka jumlah yang perlu dibayar akan meningkat mengikut peratusan yang
telah ditetapkan oleh peniaga berkenaan.
Melakukan Pencemaran Alam Sekitar
Dalam usaha mengurangkan kos perniagaan, ada pengusaha yang mengambil
jalan mudah melupuskan sisa keluaran syarikat dengan cara menyalurkannya ke
sungai, laut atau menanamnya tanpa mengikut syarat pelupusan yang telah
ditetapkan oleh pihak berkuasa. Apabila bahan toksik yang dilupuskan ini telah
terkumpul dengan banyak atau terdedah, maka ia akan mengancam nyawa manusia,
tumbuhan atau haiwan yang berada di sekitar kawasan pelupusan tersebut.
Menjalankan Perniagaan yang Haram Di sisi Islam
Perniagaan seperti arak, pelacuran, dadah, perjudian, syirik,
syubhah dan najis adalah amat ditegah dan perlu dijauhi oleh orang-orang
Islam. Setiap sesuatu yang ditegah oleh Islam pastinya mempunyai kemudaratan,
boleh merendahkan martabat maruah insan ataupun
membahayakan nyawa manusia. Di sini jelas menunjukkan bahawa dalam
Islam, amalan muamalat ini bertujuan untuk memberikan kemudahan dan menjaga
kebajikan sesama
insan. Sebagai seorang Muslim kita dilarang mengambil kesempatan
di atas kekurangan orang lain. Amalan perniagaan ini secara zahir ia sekadar
pertukaran barangan atau perkhidmatan dari pihak peniaga dengan wang oleh pihak
pembeli. Sebenarnya di sisi Islam transaksi ini turut sama melibatkan Allah SWT
berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah membeli dari orang Mukmin akan diri dan harta mereka (dibayar) dengan syurga...”( At-Taubah, 9:111)
KEBERKATAN
Secara kasarnya keberkatan ini dapat diterangkan melalui apakah
tujuan yang ingin dicapai oleh individu berkenaan dan Allah SWT akan memberikan
ketentuan ke atas segala usaha yang telah dilakukan oleh individu tersebut sama
ada diberikan keberkatan atau sebaliknya. Untuk itu adalah penting bagi setiap
individu meletakkan kepentingan mencari keredhaan Allah SWT dalam menjalani
kehidupan seharian agar diberikan kemudahan di kemudian hari.
Kehidupan sebagai seorang Muslim terbahagi kepada dua, iaitu
sewaktu hidupnya dan setelah dia mati. Bagi kehidupan sewaktu hidup, umat Islam
telah disarankan supaya mencari apa yang diingini seolah-olah kita akan hidup
seribu tahun lagi. Manakala pengisian untuk kehidupan selepas kematian, kita
dikehendaki beramal dan mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah
kita akan mati esok hari. Pengisian untuk kehidupan di dunia ini sememangnya tiada
halangan bagi umat Islam mencari kekayaan sebanyak yang mungkin. Namun begitu,
di dalam usaha mengumpul kekayaan, individu berkenaan perlu mengambil kira
kekayaan yang diperolehnya itu mempunyai unsur keberkatan atau sebaliknya.
Keberkatan ini sukar untuk kita perjelaskan kerana keberkatan tidak dapat
dilihat dengan mata kasar, namun individu itu dapat merasai kesannya dengan
melihat keadaan kehidupannya.
Sekiranya seseorang berkenaan meletakkan matlamat mencari
keberkatan dalam perniagaan maka ianya dapat membendung
perasaan tidak mencukupi dan digantikan dengan sifat terus berusaha
mencari kekayaan dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh
Allah SWT. Biasanya bagi perniagaan yang diberkati Allah SWT, keuntungan yang diperoleh
dapat digunakan sepenuhnya dan memberikan manfaat kepada individu berkenaan.
Perniagaan yang diberkati juga jarang menanggung masalah untuk membayar kos
atau perkara yang di luar jangkaan. Di samping itu, individu berkenaan rasa
bahagia menggunakan barang atau perkhidmatan yang dibelinya hasil daripada
keuntungan perniagaan yang diberikan keberkatan oleh Allah SWT. Untuk
melembutkan hati manusia yang sentiasa merasa tidak mencukupi maka kekayaan
yang dimiliki tersebut perlu disedekahkan atau dizakatkan kepada mereka yang
berhak. Keuntungan yang diperoleh dalam sesuatu perniagaan
bukanlah hak mutlak peniaga kerana dalam keuntungan tersebut ada pecahan
sebanyak 2.5 peratus untuk asnaf yang telah ditetapkan. Dalam Islam
perlaksanaan kedua-dua perkara ini akan membersihkan rezeki yang kita peroleh
dari Allah SWT. Secara umumnya dapat dijelaskan di sini bahawa keberkatan ini
bermakna kita mencari keredhaan Allah SWT untuk sesuatu yang tidak dapat
dilihat, namun ianya dapat dirasai melalui apa yang berlaku pada diri kita.
Sesuatu yang diberkati selalunya dapat memberi manfaat kepada individu tersebut
dan juga orang lain, sentiasa rasa bahagia, mencukupi dan ianya tidak habis
begitu sahaja disebabkan terpaksa untuk membayar bagi perkara yang
bukan-bukan. Oleh yang demikian, jika seorang insan dapat mengutamakan aspek
spiritualnya dalam mengendalikan perniagaan, maka mereka tergolong dalam
kumpulan peniaga yang diberkati sekali gus mempamerkan pembangunan insan yang
kuat dalam diri mereka.
PERANAN
KEBERKATAN DALAM PERNIAGAAN
Jika kekayaan sudah menjadi matlamat manusia maka mereka akan
menggunakan apa jua cara untuk mencapainya. Mereka tidak akan mempedulikan sama
ada perkara yang dilakukan itu menepati syariat atau sebaliknya. Bahkan maruah
diri juga sudah tiada nilainya lagi, penipuan, riba dan pelbagai bentuk
penyelewengan akan digunakan bagi mencapai matlamat untuk memiliki kekayaan
sebanyak yang mungkin. Sebaliknya bagi mereka yang mencari keberkatan dalam
perniagaan, maka individu berkenaan akan didorong dengan ingatan bahawa setiap
amal perbuatannya adalah semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.
Mengetahui bahawa sifat Allah SWT yang maha mengetahui maka setiap
insan perlu melaksanakan kegiatan
perniagaan secara jujur serta berusaha menghindari amalan penipuan yang sering
dilaksanakan untuk mengaut keuntungan yang lebih. Sungguhpun keuntungan yang
diperoleh berlipat kali ganda hasil daripada penipuan yang dilakukan, namun
sebagai seorang Muslim kita yakin bahawa apabila sesuatu usaha yang dilakukan
jika tidak diberkati oleh Allah SWT, maka keuntungan dan kekayaan yang
diperoleh itu pasti akan habis secara sia-sia dan kadangkala menimbulkan
masalah pada diri atau keluarga. Melihat kepada konsep asas keberkatan dalam
perniagaan yang mampu membendung perasaan tidak mencukupi, pastinya akan
memberi kesedaran kepada para peniaga untuk sentiasa berusaha dan bersyukur dengan
rezeki Allah SWT. Keadaan ini menyebabkan peniaga percaya bahawa harta kekayaan
itu selagi dicari selagi itu ia tidak akan cukup untuk memuaskan hati manusia.
Perasaan mencukupi dan bersyukur dengan rezeki Allah SWT dapat menghindarkan
para peniaga daripada perasaan tamak, iri hati dan dengki terhadap apa yang
diperoleh oleh orang lain. Banyak kejadian yang menunjukkan sekiranya sesuatu
pendapatan atau kekayaan yang diperoleh oleh seseorang itu melalui cara batil
(yang tidak diredhai oleh Allah SWT) biasanya akan habis dalam keadaan
tanpa disedari, sia-sia atau lebih malang lagi segala yang dimiliki itu
mendatangkan kecelakaan kepadanya. Ada kala nya mereka sentiasa berbelanja
untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan akhirnya kekayaan yang diperoleh
tersebut habis begitu sahaja. Keadaan ini boleh dikatakan sebagai tiada keberkatan
ke atas apa yang diperoleh.
Hasil kekayaan yang diperoleh dengan cara yang haram, mempunyai
unsur penipuan atau berlaku penganiayaan kepada orang lain sememangnya tidak
diredhai oleh Allah SWT. Mereka yang melakukan perkara ini akan sentiasa berasa
bimbang, bersalah dan tiada rasa bahagia atau tenteram di dalam diri. Berbeza
pula dengan mereka yang menjalankan perniagaan secara jujur, tidak berkira dan
sekiranya terlebih maka ia menganggap itu sebagai sedekah jariah. Maka individu
sebegini sentiasa rasa bahagia, tenteram dan berharap agar perniagaan dan kehidupannya
diberikan keberkatan oleh Allah SWT. untuk di dunia dan di
akhirat. Dengan cara ini lah mereka berjaya dalam perniagaan sekali gus dengan penerapan
nilai murni dalam diri dapat membangunkan modal insan yang berkualiti bukan
sahaja pada diri sendiri tetapi kepada Allah SWT.
Sebagai kesimpulannya, tanpa kekuatan iman dan
kesedaran bahawa kehidupan kita di dunia ini hanya sementara, setiap insan
boleh hanyut dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mengejar
kemewahan hidup. Maka itu adalah amat penting bagi para peniaga melakukan
urusan perniagaannya dengan ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah SWT serta
sentiasa memohon agar hasil yang diperoleh merupakan rezeki yang diberkati.
Mengharapkan usaha yang dicurahkan diberi keberkatan oleh Allah SWT akan
mencegah manusia dari melakukan penyelewengan, penipuan, kemungkaran dan
kemaksiatan. Dengan penerapan nilai murni dalam diri maka ia mampu menjana
keutuhan keusahawanan dalam pembangunan modal insan dan kepenggunaan Islam bagi
umatnya yang menceburi atau berurusan dalam bidang perniagaan.