Monday 9 December 2013

Perniagaan : Keberkatan atau Keuntungan

Tugasan Blog (Rencana) SZW502
PERNIAGAAN : KEBERKATAN ATAU KEUNTUNGAN
Normaisarah Binti Mohammad Zahari
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM 0129/12

Islam menggalakkan umatnya menjalankan perniagaan bagi meningkatkan kehidupan sosial dan ekonomi mereka kerana sembilan daripada sepuluh punca rezeki datangnya daripada perniagaan dan keusahawanan. Perniagaan juga merupakan suatu ibadah iaitu memenuhi tuntutan fardu kifayah bagi umat Islam. Perniagaan merupakan suatu ibadah yang mulia seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
( An-nisa, 4:29)

Al-Quran juga menyentuh secara langsung tentang keusahawanan sebagai sumber pencarian rezeki yang halal dan mulia yang bermaksud sekiranya umat Islam ingin mencari kekayaan, maju serta menguasai bidang ekonomi, maka berniaga merupakan bidang yang sewajarnya diceburi kerana perniagaan merupakan punca rezeki yang luas.

Manusia dianugerahkan keinginan yang pelbagai namun kemampuan dari sudut tenaga dan masa menjadi batasan terhadap perkara yang diingininya tidak dapat dipenuhi. Menyedari keterbatasan ini maka perniagaan menjadi medan untuk menyempurnakan keinginan tersebut. Sebagai seorang Muslim kita perlu melihat perniagaan itu sebagai satu amanah bagi memuaskan hati kehendak pengguna. Jika di dalam hati kita mempunyai sifat bertanggungjawab maka misi hidup kita menjadi amat jelas. Kita boleh meletakkan usaha dalam bidang perniagaan sebagai ibadah untuk kehidupan di dunia dan juga sebagai pelaburan untuk hari akhirat. Untuk melibatkan diri dalam perniagaan, niat menjadi asas dalam melakukan sesuatu pekerjaan di mana ianya mesti dimulakan dengan niat yang baik agar dapat menghasilkan natijah yang baik di penghujungnya. Sesungguhnya Allah s.w.t. akan meletakkan kedudukan yang tinggi serta kemuliaan kepada mereka yang melibatkan diri dalam perniagaan sekiranya mereka bertakwa, jujur dan amanah dalam amalan perniagaannya.

PERNIAGAAN

Pada kebiasaannya bidang perniagaan ini dikaitkan kemampuan untuk menjadi kaya melalui tindakan berusaha sendiri tanpa bergantung pada orang lain untuk mendapatkan gaji bulanan. Balasan daripada sikap berdikari ini dinamakan sebagai keuntungan hasil daripada proses jual beli yang dilakukan dengan pelanggan.

Melibatkan diri dalam bidang perniagaan juga memerlukan individu berkenaan bersedia untuk berhadapan dengan cabarannya. Risiko daripada tindakan melibatkan diri dalam bidang ini adalah sama ada berjaya ataupun gagal. Jika berjaya ia akan memperoleh keuntungan sebaliknya jika gagal maka individu berkenaan perlu menanggung kerugian.

Kejayaan usahawan yang melibatkan diri dalam perniagaan ini bukanlah boleh diperoleh secara mudah dan tiba-tiba, sebaliknya ia memerlukan kesungguhan berserta motivasi dan disiplin diri yang tinggi. Peniaga perlu mencari sebanyak mungkin pengalaman di dalam bidang ini dan sentiasa berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan perniagaan.

KEUNTUNGAN

Setiap pekerjaan yang baik mesti dimulakan dan dilaksanakan dengan hal yang baik supaya menghasilkan natijah yang baik. Hakikat yang berlaku pada hari ini kebanyakan umat Islam yang melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan bukan di atas dorongan mencari keredhaan Allah SWT sebaliknya lebih kepada mencari kekayaan dan keuntungan semata-mata. Apabila kekayaan diletakkan sebagai matlamat utama dalam mengusahakan sesebuah perniagaan maka pelbagai cara akan digunakan oleh individu berkenaan tanpa mengira hukum dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam maka itu timbul isu-isu di bawah:




Melindung Kerosakan
Demi untuk mendapat keuntungan beberapa perkara yang sebenar berkaitan dengan produk yang ditawarkan telah di selindung oleh para peniaga. Tindakan ini menyebabkan para pelanggan merasa ditipu dengan apa yang ditawarkan oleh peniaga kerana kerosakan tersebut sengaja di selindungkan dan dikesan oleh pembeli kemudian hari. Keadaan ini akhirnya akan menimbulkan rasa tidak redha dan tertipu di hati pelanggan di atas urus niaga yang telah dilaksanakan.

Mengurangi Timbangan
Ada juga di kalangan peniaga yang secara sengaja mengambil kesempatan dengan cara melakukan pengubahsuaian ke atas alat timbangan bagi tujuan mengurangkan berat bahan jualannya. Kadar bayaran pula dikenakan pada jumlah timbangan yang sebenar tetapi
kuantiti barangan telah dikurangkan tanpa pengetahuan pelanggan. Apabila kuantiti yang telah dikurangkan itu di kumpul, maka peniaga berkenaan boleh menjual bagi menggandakan keuntungan tanpa mengira hak para pelanggannya.

Menyorok Barangan
Bagi menaikkan harga sesuatu barangan, ada sesetengah peniaga yang sanggup menyorokkan barangan jualan. Tindakan ini bertujuan untuk memberikan gambaran bahawa barangan tersebut kurang di pasaran. Apabila para pelanggan berasa sukar untuk mendapatkan barangan tersebut maka mereka akan sanggup untuk membayar lebih. Bagi memberikan tekanan kepada para pelanggan maka barang yang disorok biasanya melibatkan barangan keperluan utama dalam kehidupan masyarakat berkenaan seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya.

Membeli Barangan Curi
Walaupun menyedari membeli barangan curi adalah suatu kesalahan baik dari sudut agama mahupun undang-undang negara, namun ada peniaga yang sanggup melakukan kesalahan dan dosa dengan membeli barangan tersebut. Tindakan ini dilakukan semata-mata kerana peniaga ini tahu bahawa barangan curi boleh dibeli dengan harga yang amat murah dan
kemudian boleh dijual pada harga pasaran semasa demi untuk mengaut lebih banyak keuntungan.


Menghapuskan Pengeluaran yang Berlebihan
Ada juga pengusaha yang sanggup untuk mengekalkan harga bahan keluaran syarikatnya dengan cara melupuskan bahan tersebut. Tanpa mengambil kira sifat perikemanusiaan pada pengusaha yang sanggup membunuh haiwan ternakan semata-mata tidak mahu menanggung kerugian kerana kejatuhan harga apabila bilangan yang ditawarkan lebih banyak daripada permintaan yang ada di pasaran.

Memonopoli Perniagaan
Demi untuk mendapatkan keuntungan yang lebih, maka ada peniaga yang mengambil jalan menguasai pasaran perniagaan yang diusahakan. Keadaan ini boleh terjadi apabila peniaga berkenaan mempunyai modal yang besar maka dia akan mengambil tindakan untuk menghalang peniaga lain dari membuka perniagaan di kawasannya. Antara tindakan yang boleh dilakukannya adalah membeli kesemua barangan dari peniaga tersebut atau menurunkan harga barangan supaya peniaga yang baru ini tidak mampu untuk bersaing dengannya.

Mengamalkan Riba
Mengambil keuntungan yang berterusan ke atas sesuatu urusan jual beli di mana jumlah yang sepatutnya dibayar lebih dari yang sepatutnya, inilah yang dinamakan sebagai riba. Untuk menjadikan keuntungan ini berterusan maka peniaga mengenakan kadar faedah tertentu dalam urus niaganya. Apabila pelanggan gagal membayar maka jumlah yang perlu dibayar akan meningkat mengikut peratusan yang telah ditetapkan oleh peniaga berkenaan.

Melakukan Pencemaran Alam Sekitar
Dalam usaha mengurangkan kos perniagaan, ada pengusaha yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa keluaran syarikat dengan cara menyalurkannya ke sungai, laut atau menanamnya tanpa mengikut syarat pelupusan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Apabila bahan toksik yang dilupuskan ini telah terkumpul dengan banyak atau terdedah, maka ia akan mengancam nyawa manusia, tumbuhan atau haiwan yang berada di sekitar kawasan pelupusan tersebut.




Menjalankan Perniagaan yang Haram Di sisi Islam
Perniagaan seperti arak, pelacuran, dadah, perjudian, syirik, syubhah dan najis adalah amat ditegah dan perlu dijauhi oleh orang-orang Islam. Setiap sesuatu yang ditegah oleh Islam pastinya mempunyai kemudaratan, boleh merendahkan martabat maruah insan ataupun
membahayakan nyawa manusia. Di sini jelas menunjukkan bahawa dalam Islam, amalan muamalat ini bertujuan untuk memberikan kemudahan dan menjaga kebajikan sesama
insan. Sebagai seorang Muslim kita dilarang mengambil kesempatan di atas kekurangan orang lain. Amalan perniagaan ini secara zahir ia sekadar pertukaran barangan atau perkhidmatan dari pihak peniaga dengan wang oleh pihak pembeli. Sebenarnya di sisi Islam transaksi ini turut sama melibatkan Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang Mukmin akan diri dan harta mereka (dibayar) dengan syurga...”( At-Taubah, 9:111)


KEBERKATAN

Secara kasarnya keberkatan ini dapat diterangkan melalui apakah tujuan yang ingin dicapai oleh individu berkenaan dan Allah SWT akan memberikan ketentuan ke atas segala usaha yang telah dilakukan oleh individu tersebut sama ada diberikan keberkatan atau sebaliknya. Untuk itu adalah penting bagi setiap individu meletakkan kepentingan mencari keredhaan Allah SWT dalam menjalani kehidupan seharian agar diberikan kemudahan di kemudian hari.

Kehidupan sebagai seorang Muslim terbahagi kepada dua, iaitu sewaktu hidupnya dan setelah dia mati. Bagi kehidupan sewaktu hidup, umat Islam telah disarankan supaya mencari apa yang diingini seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi. Manakala pengisian untuk kehidupan selepas kematian, kita dikehendaki beramal dan mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kita akan mati esok hari. Pengisian untuk kehidupan di dunia ini sememangnya tiada halangan bagi umat Islam mencari kekayaan sebanyak yang mungkin. Namun begitu, di dalam usaha mengumpul kekayaan, individu berkenaan perlu mengambil kira kekayaan yang diperolehnya itu mempunyai unsur keberkatan atau sebaliknya. Keberkatan ini sukar untuk kita perjelaskan kerana keberkatan tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun individu itu dapat merasai kesannya dengan melihat keadaan kehidupannya.

Sekiranya seseorang berkenaan meletakkan matlamat mencari keberkatan dalam perniagaan maka ianya dapat membendung perasaan tidak mencukupi dan digantikan dengan sifat terus berusaha mencari kekayaan dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Biasanya bagi perniagaan yang diberkati Allah SWT, keuntungan yang diperoleh dapat digunakan sepenuhnya dan memberikan manfaat kepada individu berkenaan. Perniagaan yang diberkati juga jarang menanggung masalah untuk membayar kos atau perkara yang di luar jangkaan. Di samping itu, individu berkenaan rasa bahagia menggunakan barang atau perkhidmatan yang dibelinya hasil daripada keuntungan perniagaan yang diberikan keberkatan oleh Allah SWT. Untuk melembutkan hati manusia yang sentiasa merasa tidak mencukupi maka kekayaan yang dimiliki tersebut perlu disedekahkan atau dizakatkan kepada mereka yang berhak. Keuntungan yang diperoleh dalam sesuatu perniagaan bukanlah hak mutlak peniaga kerana dalam keuntungan tersebut ada pecahan sebanyak 2.5 peratus untuk asnaf yang telah ditetapkan. Dalam Islam perlaksanaan kedua-dua perkara ini akan membersihkan rezeki yang kita peroleh dari Allah SWT. Secara umumnya dapat dijelaskan di sini bahawa keberkatan ini bermakna kita mencari keredhaan Allah SWT untuk sesuatu yang tidak dapat dilihat, namun ianya dapat dirasai melalui apa yang berlaku pada diri kita. Sesuatu yang diberkati selalunya dapat memberi manfaat kepada individu tersebut dan juga orang lain, sentiasa rasa bahagia, mencukupi dan ianya tidak habis begitu sahaja disebabkan terpaksa untuk membayar bagi perkara yang bukan-bukan. Oleh yang demikian, jika seorang insan dapat mengutamakan aspek spiritualnya dalam mengendalikan perniagaan, maka mereka tergolong dalam kumpulan peniaga yang diberkati sekali gus mempamerkan pembangunan insan yang kuat dalam diri mereka.


PERANAN KEBERKATAN DALAM PERNIAGAAN

Jika kekayaan sudah menjadi matlamat manusia maka mereka akan menggunakan apa jua cara untuk mencapainya. Mereka tidak akan mempedulikan sama ada perkara yang dilakukan itu menepati syariat atau sebaliknya. Bahkan maruah diri juga sudah tiada nilainya lagi, penipuan, riba dan pelbagai bentuk penyelewengan akan digunakan bagi mencapai matlamat untuk memiliki kekayaan sebanyak yang mungkin. Sebaliknya bagi mereka yang mencari keberkatan dalam perniagaan, maka individu berkenaan akan didorong dengan ingatan bahawa setiap amal perbuatannya adalah semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.

Mengetahui bahawa sifat Allah SWT yang maha mengetahui maka setiap insan perlu  melaksanakan kegiatan perniagaan secara jujur serta berusaha menghindari amalan penipuan yang sering dilaksanakan untuk mengaut keuntungan yang lebih. Sungguhpun keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda hasil daripada penipuan yang dilakukan, namun sebagai seorang Muslim kita yakin bahawa apabila sesuatu usaha yang dilakukan jika tidak diberkati oleh Allah SWT, maka keuntungan dan kekayaan yang diperoleh itu pasti akan habis secara sia-sia dan kadangkala menimbulkan masalah pada diri atau keluarga. Melihat kepada konsep asas keberkatan dalam perniagaan yang mampu membendung perasaan tidak mencukupi, pastinya akan memberi kesedaran kepada para peniaga untuk sentiasa berusaha dan bersyukur dengan rezeki Allah SWT. Keadaan ini menyebabkan peniaga percaya bahawa harta kekayaan itu selagi dicari selagi itu ia tidak akan cukup untuk memuaskan hati manusia. Perasaan mencukupi dan bersyukur dengan rezeki Allah SWT dapat menghindarkan para peniaga daripada perasaan tamak, iri hati dan dengki terhadap apa yang diperoleh oleh orang lain. Banyak kejadian yang menunjukkan sekiranya sesuatu pendapatan atau kekayaan yang diperoleh oleh seseorang itu melalui cara batil (yang tidak diredhai oleh Allah SWT) biasanya akan habis dalam keadaan tanpa disedari, sia-sia atau lebih malang lagi segala yang dimiliki itu mendatangkan kecelakaan kepadanya. Ada kala nya mereka sentiasa berbelanja untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan akhirnya kekayaan yang diperoleh tersebut habis begitu sahaja. Keadaan ini boleh dikatakan sebagai tiada keberkatan ke atas apa yang diperoleh.

Hasil kekayaan yang diperoleh dengan cara yang haram, mempunyai unsur penipuan atau berlaku penganiayaan kepada orang lain sememangnya tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka yang melakukan perkara ini akan sentiasa berasa bimbang, bersalah dan tiada rasa bahagia atau tenteram di dalam diri. Berbeza pula dengan mereka yang menjalankan perniagaan secara jujur, tidak berkira dan sekiranya terlebih maka ia menganggap itu sebagai sedekah jariah. Maka individu sebegini sentiasa rasa bahagia, tenteram dan berharap agar perniagaan dan kehidupannya diberikan keberkatan oleh Allah SWT. untuk di dunia dan di akhirat. Dengan cara ini lah mereka berjaya dalam perniagaan sekali gus dengan penerapan nilai murni dalam diri dapat membangunkan modal insan yang berkualiti bukan sahaja pada diri sendiri tetapi kepada Allah SWT.


Sebagai kesimpulannya, tanpa kekuatan iman dan kesedaran bahawa kehidupan kita di dunia ini hanya sementara, setiap insan boleh hanyut dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mengejar kemewahan hidup. Maka itu adalah amat penting bagi para peniaga melakukan urusan perniagaannya dengan ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah SWT serta sentiasa memohon agar hasil yang diperoleh merupakan rezeki yang diberkati. Mengharapkan usaha yang dicurahkan diberi keberkatan oleh Allah SWT akan mencegah manusia dari melakukan penyelewengan, penipuan, kemungkaran dan kemaksiatan. Dengan penerapan nilai murni dalam diri maka ia mampu menjana keutuhan keusahawanan dalam pembangunan modal insan dan kepenggunaan Islam bagi umatnya yang menceburi atau berurusan dalam bidang perniagaan.

2 comments: